SIFAT WAJIB BAGI RASUL
Rasul
adalah manusia dan lelaki yang diwahyukan oleh Allah kepadanya dengan
syarak dan disuruh menyampaikan kepada umatnya. Rasul mempunyai sifat
yang paling sempurna di kalangan manusia. Mereka juga adalah lelaki yang
merdeka, sempurna akal, ilmu, kejadian dan perangainya. Ini kerana
mereka bukan sekadar menyampaikan wahyu sahaja tetapi juga menjadi
contoh kepada manusia.
Para rasul adalah manusia istimewa pilihan Allah yang membawa ajarannya.
Mereka dididik dan dipelihara oleh Allah daripada melakukan kejahatan
dan kakejian, supaya mereka benar-benar layak memimpin manusia dengan
ajaran-ajaran Allah S.W.T. Allah menyebut dalam surah Ali Imran ayat 33
yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah Telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan
keluarga 'Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing),"
Allah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam surah al-Qalam ayat 4, maksudnya: "Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung."
Beriman kepada Rasul adalah salah satu daripada Rukun Iman, dan ia
merupakan Rukun Iman yang keempat. Allah S.W.T. mengutuskan rasul kepada
manusia adalah untuk memenuhi keperluan penting bagi manusia dalam
kehidupan mereka menurut fitrah yang sebenar. Setiap jalan yang sebenar
pada setiap zaman mesti mengikut apa yang diwahyukan oleh Allah kepada
rasul-Nya.
Ibnu Qayyim berkata, “Sesungguhnya tidak ada jalan kebahagiaan dan
kemenangan di dunia dan di akhirat melainkan apa yang ada pada
rasul-rasulnya. Tidak ada jalan bagi mengetahui perbezaan antara baik
dan jahat secara terperinci melainkan daripada mereka. Kita tidak akan
mencapai keredhaan Allah melainkan melalui ajaran mereka. Mereka adalah
neraca penentu yang sebenarnya bagi menimbang ucapan kata-kata,
amalandan akhlak”.
Allah memilih di kalangan hambanya segolongan manusia yang dijadikan
contoh kemuliaan dan kesempurnaan sifat manusia.Mereka yang layak
membawa petunjuk daripada Allah serta memimpin manusia kea rah
kebahagiaan. Allah memilih para nabi dan rasul dengan ilmunya yang tidak
terhingga dan di bawah hidayahnya. Allah memuliakan mereka dengan sifat
kenabian yang melayakkan mereka menjadi pemimpin dalam urusan agama dan
dunia. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 73,
maksudnya:
"Kami Telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang
memberi petunjuk dengan perintah kami dan Telah kami wahyukan kepada,
mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat,
dan Hanya kepada kamilah mereka selalu menyembah,"
SIFAT-SIFAT RASUL
Rasul adalah manusia pilihan Allah yang membawa amanah wahyu dan
menyampaikan dakwah dan risalah Allah kepada hamba-hambanya. Jadi mereka
mesti terdiri daripada manusia yang paling sempurna kemanusiaannya dari
segi ilmu, akhlak, dan keturunan. Mereka di tarbiyahkan di bawah
pemeliharaan Allah. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Sad ayat
45 hingga 48: Maksudnya:
"Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub yang
mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang Tinggi.
Sesungguhnya kami Telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada
mereka) akhlak yang Tinggi yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada
negeri akhirat. Dan Sesungguhnya mereka pada sisi kami benar-benar
termasuk orang-orang pilihan yang paling baik. Dan ingatlah akan Ismail,
Ilyasa' dan Zulkifli. semuanya termasuk orang-orang yang paling baik."
"dan Aku Telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku,"
Begitulah ayat-ayat al-Quran menyatakan berkenaan para rasul dan
menyatakan sifat-sifat mereka yang mulia dan sempurna. Ini menunjukkan
tingginya martabat para rasul,dan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai
utusan Allah dan menjadi petunjuk serta ikutan manusia seluruhnya.
Rasul merupakan pesuruh Allah S.W.T. yang memiliki sifat-sifat yang
terpuji dan sentiasa dipelihara daripada melakukan segala dosa.
Sifat-sifat rasul terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sifat wajib,
sifat mustahil dan sifat harus.
1. Siddiq
Siddiq bererti benar. Ia diambil daripada kalimah as-Sidqu (الصدق) iaitu
mengatakan yang benar dan terang. Keutamaan dan kemuliaan sifat benar
itu diperjelaskan oleh Allah Taala dalam surah al-Ahqaqaf ayat 16,
maksudnya:
"Mereka Itulah orang-orang yang kami terima dari mereka amal yang
baik yang Telah mereka kerjakan dan kami ampuni kesalahan-kesalahan
mereka, bersama penghuni-penghuni surga, sebagai janji yang benar yang
Telah dijanjikan kepada mereka."
Allah telah menjadikan sifat benar (siddiq) itu sebagai sifat nabi
sesuai dengan firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 22 yang bermaksud:-
"Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang
bersekutu itu, mereka Berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan
Rasul-Nya kepada kita". dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. dan yang
demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan
ketundukan."
Sifat benar ini wajib ada pada rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu
bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan
dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah
benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat
siddiq iaitu membawa kebenaran.
2. Amanah
Perkataan amanah (الأمانة) mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam
pengertian khusus amanah bererti mengembalikan harta benda kepada yang
mengamanahkannya. Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi
maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan
benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya.
Allah berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat (t.t) yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang
berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di
antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah
memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah
adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat."
Disebut golongan orang-orang yang selamat dari seksaan api neraka
jahanam, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Maarij ayat 32,
maksudnya:
"Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya."
Sifat amanah Rasulullah s.a.w. seperti sifat-sifatnya yang utama adalah
langkap dan sempurna. Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya
adalah penyumbang terbesar yang menyebar-luaskan risalah Allah. Baginda
telah menyampaikan risalah itu kepada manusia dengan sebaik-baiknya.
Bangsa Arab telah mengenal sifat amanah Rasulullah s.a.w. sebelum
baginda diutus. Mereka memberi dengan gelaran “Al-Amin” orang yang
terpercaya. Oleh kerana itu mereka menerima keputusan-keputusan baginda
dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan Rasulullah
s.a.w. sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang
dibuat oleh Rasulullah.
Sifat amanah yang dimiliki oleh para rasul mesti kita ikuti. Sifat
sebegini sangatlah diperlukan dalam kehidupan kita, tidak kira dalam
ibadah khusus atau ibadat umum seperti ketika bekerja, belajar atau
berhubungan dengan orang lain.
3. Tabligh
Maksud tabligh ( تبليغ )ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan
wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi
sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu
Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezalimann dan
kekejaman manusia. Allah menceritakan berkenaan nabi Noh a.s. dalam
surah al-A’raaf ayat 61 dan 62 yang bermaksud:
"Nuh menjawab: "Hai kaumku, tak ada padaku kesesatan sedikitpun
tetapi Aku adalah utusan dari Tuhan semesta alam". "Aku sampaikan
kepadamu amanat-amanat Tuhanku dan Aku memberi nasehat kepadamu. dan Aku
mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui".
Semua rasul mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa
mereka menyampaikan perintah Allah danmenasihati umatnya. Begitu juga
kita dapati nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan supaya menyampaikan
perintah Allah kepada umat manusia. Firman Allah S.W.T. dalam surah
al-Maaidah ayat 67 maksudnya:
"Hai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu.
dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu
tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari
(gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang kafir."
Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hokum-hukum,
berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya. Ekoran daripada
inilah Islam tersebar luas ke setiap pelusuk benua dengan cepat.
4. Fatonah
Fatonah ( فطانة ) bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang
dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah, malah secara
luar biasa dalam memahami ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan
ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa
yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah diamanahkan untuk
menyampaikan agama Allah, menyatakan hokum-hukumnya, menghapuskan segala
kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan hujjah-hujah yang
kuat. Serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah. Oleh
itu adalah mustahil para rasul itu bodoh, dan lebih mustahil lagi Allah
memilih rasulnya dari kalangan orang-orang yang tidak sempurna akal dan
kebijaksanaannya. Allah berfirman dalam surah al-An’aam ayat 124,
maksudnya:
"Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: "Kami
tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa
yang Telah diberikan kepada utusan-utusan Allah". Allah lebih
mengetahui di mana dia menempatkan tugas kerasulan. orang-orang yang
berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan siksa yang keras
disebabkan mereka selalu membuat tipu daya."
Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh,
kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti
menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh
mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah
Allah yang terkandung dalam surah an-Nisaa’ ayat 165 yang bermaksud:
"(mereka kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan
pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah
Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. dan adalah Allah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana."
Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah s.a.w., kita dapati baginda
seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada seorang
pun yang dapat menandinginya. Sehinggakan kata-kata baginda (hadis)
menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan