Isnin, 3 Disember 2012

Perlis Kaji Kemungkinan Pajak Tanah Rizab Melayu



PORTAL RASMI
JABATAN TANAH DAN GALIAN PERLIS

Perlis Kaji Kemungkinan Pajak Tanah Rizab Melayu

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan sejajar dengan wawasannya menjadi sebuah negeri maju menjelang 2015.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata Perlis tidak lagi mempunyai tanah untuk menggantikan tanah rizab Melayu yang dibangunkan, maka kaedah pajakan dilihat sebagai satu alternatif.
Bercakap kepada para pemberita di sini Jumaat, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pejabat Penasihat Undang-undang negeri untuk kajian aspek perundangan mengenai kaedah pajakan tanah rizab Melayu selain menentukan tempoh masa pajakannya.
Md Isa berkata mengikut Enakmen Rizab Melayu, setiap tanah rizab Melayu yang telah bertukar status bagi maksud pembangunan perlu digantikan dengan kawasan lain dengan keluasan sama bagi memastikan tanah rizab itu tidak berkurangan.
Bagaimanapun, kata beliau Perlis tidak lagi mempunyai tanah bagi menggantikan tanah rizab Melayu yang berpotensi dibangunkan dan bagi memastikan rizab itu kekal, kaedah pajakan dianggap yang terbaik.
Md Isa berkata Perlis bukan sekadar mempunyai wawasan menjadi negeri maju menjelang 2015 tetapi menjadi sebuah negeri bandar raya menjelang 2030 dan yang demikian pembangunan perlu diteruskan dalam keadaan tanah begitu terhad.
Katanya Perlis hanya mempunyai keluasan 819 kilometer persegi dan hanya 23 peratus daripada keluasan itu adalah kawasan paling sesuai untuk pembangunan, yang mana kawasan terbabit sebahagian besarnya adalah rizab Melayu.
Beliau yakin minat yang ditunjukkan para pelabur untuk menyertai pembangunan negeri ini akan mempercpatkan proses pembangunan di seluruh Perlis.
Terdahulu, Md Isa melakukan pecah tanah projek Taman Putra Utama di tapak seluas kira-kira 18 hektar Behor Gandil dekat sini yang membabitkan kos sebanyak RM200 juta.
Projek yang dilaksanakan pemaju tempatan, Aima Development Sdn Bhd itu antara lain akan mempunyai kemudahan perumahan, stesen bas dan teksi serta pasar raya besar, sekaligus mengubah wajah kawasan sawah yang terletak di pinggir bandar Kangar. - BERNAMA

 Sumber : :mstar Tarikh : 16 Mac 2012

rujukan:
 http://ptg.ptgps.gov.my/berita6.html

Tiada ulasan: