Ahad, 2 Disember 2012

Pengambilan Tanah


 

OBJEKTIF


  1. Melaksanakan proses pengambilan tanah yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain Agensi Kerajaan bagi projek-projek pembangunan demi kepentingan rakyat dan negara
  2. Memastikan projek-projek pembangunan yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta lain-lain Agensi Kerajaan dilaksanakan di kawasan yang strategik dan dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat
  3. Meningkatkan penggunaan tanah yang optimum supaya aktiviti ekonomi menjadi lebih produktif dan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat
  4. Memastikan setiap aktiviti di dalam proses pengambilan tanah dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan

AKTIVITI-AKTIVITI

  • Menerima dan mendaftar fail permohonan pengambilan balik tanah.
  • Menyediakan laporan tanah.
  • Menyediakan kertas kerja untuk pengisytiharan dan sokongan kepada pihak berkuasa negeri mengenai cadangan pengambilan tanah.
  • Menyedia dan mengeluarkan notis / borang pengambilan tertentu iaitu Borang A,B,C,D,E,F,G,H,I,J,K,L,M,N,O,P,Q.
  • Menjalankan siasatan / pembicaraan tuntutan pampasan untuk semua kepentingan yang ada pada tanah berkenaan.
  • Membuat bayaran pampasan kepada tuan tanah yang terlibat dengan pengambilan
  • Urusan berkaitan kes 'Appeal' dan 'Affidavit'
  • Penyediaan kertas sokongan pemberian hakmilik. 
  •  
MAKLUMAT ASAS AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIKETAHUI
Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak pemilikan harta.  Pelucutan hak pemilikan harta hanya boleh dilakukan mengikut undang-undang dan dengan membayar pampasan yang mencukupi. Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri  (PBN)  boleh mengambil tanah yang dikehendaki:
*  bagi  mana-mana maksud awam;
*  oleh mana-mana orang atau perbadanan bagi apa-apa maksud yang pada pandangan PBN memberi faedah kepada pembangunan ekonomi Malaysia atau mana-mana bahagian daripadanya atau kepada orang awam amnya atau mana-mana kumpulan orang awam;  atau
*  bagi maksud perlombongan, atau bagi maksud-maksud kediaman, pertanian, perdagangan dan perindustrian atau maksud rekreasi atau kombinasi mana-mana maksud tersebut.

KEPERLUAN PENGAMBILAN TANAH
Kerajaan terpaksa mengambil tanah milik kerana  tanah Kerajaan adalah terhad dan mungkin tidak sesuai dari segi saiz atau lokasi yang diperlukan untuk projek pembangunan atau infrastruktur. Proses pengambilan tanah juga dapat mengatasi masalah pindahmilik dan halangan-halangan perundangan yang mengambil masa yang lama sekiranya tanah itu diperolehi melalui proses pembelian terus.

TANAH YANG BOLEH DIAMBIL
*  Tanah milik, melainkan tanah milik Kerajaan Persekutuan;
*  Tanah yang diduduki mengikut hak disisi adat; dan
*  Tanah yang diduduki dengan harapan mendapat hakmilik.

SIAPA YANG BOLEH MEMOHON PENGAMBILAN TANAH
*  Pesuruhjaya Tanah Persekutuan;
*  Jabatan Negeri;
*  Badan Berkanun Persekutuan;
*  Badan Berkanun Negeri;
*  Perbadanan, syarikat; atau
*  Orang perseorangan.

PROSES PENGAMBILAN TANAH
Setelah permohonan pengambilan tanah diluluskan oleh PBN, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) akan membuat  pemberitahuan atau pengisytiharan  dalam  Warta  Kerajaan Negeri.  Jika sekiranya warta pemberitahuan di bawah seksyen 4 dibuat, Pentadbir Tanah hendaklah mengeluarkan notis awam dan mempamerkannya di tempat-tempat tertentu iaitu di Pejabat Tanah, di papan kenyataan  awam  di mukim atau pekan di mana tanah itu terletak dan di atas atau berhampiran dengan tanah.

 PERANAN PENTADBIR TANAH
*  Memproses pengambilan tanah mengikut peruntukan di bawah APT 1960;
*  Menjalankan siasatan (enquiry) dan menentukan amaun pampasan yang akan dibayar kepada orang berkepentingan;
*  Mengambilmilik tanah; dan
*  Menguruskan pengeluaran hakmilik untuk kawasan yang diambil dan hakmilik sambungan untuk kawasan baki lot.

 TUJUAN SIASATAN (ENQUIRY)
Untuk:
*  Mendengar tuntutan pampasan;
*  Menentukan nilaian tanah yang hendak diambil;
*  Menentukan amaun pampasan;
*  Menentukan kepentingan tiap-tiap orang yang membuat tuntutan; dan
*  Mendengar bantahan, jika ada, oleh pihak yang berkepentingan mengenai keluasan tanah yang hendak diambil.

SIAPA YANG PERLU HADIR SEMASA SIASATAN
*  Tuanpunya tanah berdaftar atau wakil;
*  Pihak berkepentingan berdaftar atau wakil; dan
*  Agensi yang memohon pengambilan atau wakil.
Dengan syarat wakil hendaklah dilantik secara bertulis.

BAGAIMANA AMAUN PAMPASAN DITENTUKAN
Amaun pampasan adalah diasaskan kepada harga  pasaran tanah pada tarikh warta di bawah seksyen 4 atau di bawah seksyen 8 APT 1960 dengan mengambil kira  prinsip penilaian yang ditetapkan di dalam Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).

HAK DAN TANGGUNGJAWAB ORANG BERKEPENTINGAN
*  Hadir semasa siasatan;
*  Membuat tuntutan pampasan; dan
*  Membuat  bantahan mengenai keluasan tanah yang hendak diambil dan membuat bantahan ke mahkamah.

 PERKARA-PERKARA YANG BOLEH DIBANTAH KE MAHKAMAH
*  Keluasan tanah yang diambil;
*  Amaun pampasan yang dibayar;
*  Orang yang kepadanya pampasan dibayar; dan
*  Kadar pembahagian pampasan.

 PROSEDUR MEMBUAT BANTAHAN KE MAHKAMAH
*  Kemukakan bantahan dengan mengisi Borang N kepada Pentadbir Tanah;
*  Membayar deposit seperti yang dikehendaki oleh Pentadbir Tanah; dan
*  Kemukakan Borang N dalam tempoh 6 minggu dari tarikh award bertulis  Pentadbir Tanah dalam Borang G (jika hadir semasa perintah dibuat) atau 6 minggu dari tarikh terima notis tawaran Borang H atau 6 bulan dari tarikh award Borang G yang mana dahulu luput (jika tidak hadir semasa perintah).
Pihak yang membuat bantahan hendaklah mendapatkan khidmat penilai semasa kes dibicarakan di Mahkamah.

PAMPASAN BAGI TUANPUNYA TANAH YANG MENINGGAL DUNIA DAN MENDEPOSIT PAMPASAN KE MAHKAMAH
Bagi kes di mana tuanpunya tanah berdaftar telah meninggal dunia, tanpa wasiat atau pembahagian pesaka belum selesai, Pentadbir Tanah akan membayar pampasan kepada  Amanah Raya Berhad (ARB).  Selepas tawaran pampasan Borang H dikeluarkan dan semasa bayaran dibuat tiada orang yang layak (competent) boleh menerimanya atau orang berkepentingan enggan menerima atau terdapat pertelingkahan hak untuk menerimanya, Pentadbir Tanah akan mendepositkan wang pampasan itu ke Mahkamah.

BAGAIMANA CARA UNTUK MENGELUARKAN PAMPASAN
Dari Mahkamah Tinggi:
*  Pentadbir Tanah mengemukakan afidavit kepada Pendaftar Mahkamah;
*  Mahkamah akan menyediakan cek pampasan.
Dari Amanah Raya Berhad.
*  Waris mengemukakan perintah pembahagian pusaka kecil atau surat kuasa mentadbir kepada Pengurus Amanah Raya Berhad;
*  Amanah Raya Berhad akan menyediakan cek pampasan.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB AGENSI PEMOHON
*  Mendapatkan kelulusan projek dan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk membiayai pampasan;
*  Pemilihan tapak projek yang sesuai;
*  Penyediaan pelan pengambilan tanah yang lengkap dan mencukupi serta mendapat kelulusan Jawatankuasa  Pembangunan Daerah di mana tanah itu terletak;
*  Mengemukakan permohonan pengambilan tanah sekurang-kurangnya setahun sebelum pelaksanaan projek;
*  Menandakan kawasan yang terlibat dengan pengambilan tanah apabila diminta berbuat demikian oleh Pentadbir Tanah;
*  Hadir atau diwakili semasa siasatan pengambilan tanah;
*  Memberi keterangan semasa siasatan termasuk akujanji untuk membiayai kos accommodation works;
*  Menjelaskan bayaran pampasan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh Borang H diserahkan bagi mengelakkan bayaran denda lewat;
*  Mengemukakan bantahan, jika ada, kepada Pentadbir Tanah dalam tempoh 6 minggu dari tarikh penerimaan Borang H dalam kes di mana jumlah award bagi sesuatu lot tanah melebihi RM 15,000.00;
*  Menjelaskan bayaran pampasan tambahan seperti diperintahkan oleh Mahkamah;
*  Mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah;
*  Menjaga dan mengawal tanah yang telah diambil daripada pencerobohan sebelum projek dilaksanakan dan mengutip hasil, jika ada.

PENGAMBILAN TANAH DI BAWAH SEKSYEN 3(1) (b) ATAU (c) APT 1960
Permohonan hendaklah dibuat dalam Borang I (Kaedah Pengambilan Tanah) dan disertakan dokumen-dokumen berikut:
*  Kertas cadangan projek;
*  Pelan tatatur dan pelan pengambilan tanah;
*  Laporan awal penilaian tanah oleh JPPH; dan
*  Bank draft bayaran fee dan 50% daripada deposit.
Pemohon berunding dengan tuanpunya tanah berdaftar jika diarahkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)/Jawatankuasa Khas Pengambilan Tanah (JKPT) bagi kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pemohon mengemukakan laporan perundingan kepada UPEN/JKPT.
Pemohon memaklumkan kepada Pentadbir Tanah mengenai penerimaan terma-terma dan syarat-syarat kelulusan PBN.
Pemohon membayar 75% daripada deposit.
Pengambilan tanah diwartakan di bawah seksyen 8 APT 1960.
Proses pengambilan tanah selepas diwartakan di bawah seksyen 8 adalah sama seperti proses pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(a) APT 1960

 BORANG-BORANG DI DALAM APT 1960
Borang A    -       Notis Bahawa Tanah Berkemungkinan Akan Diambil.
Borang B    -       Kebenaran Untuk Masuk Mengukur.
Borang C    -       Jadual Tanah-tanah Yang Terlibat Oleh Pengambilan.
Borang D    -       Pengisytiharan Pengambilan Yang Di-cadangkan.
Borang E    -       Pengambilan Yang Dicadangkan: Notis Siasatan.
Borang F    -       Notis Menghendaki Keterangan Secara Bertulis.
Borang G    -       Award Pampasan Bertulis.
Borang H    -       Notis Award Dan Tawaran Pampasan.
Borang I    -       Surat Perakuan Segera.
Borang J    -       Notis Mengosongkan Bangunan.
Borang K    -       Notis Bahawa Tanah Telah Diambilmilik.
Borang L    -       Notis Untuk Mengemukakan Dokumen/ Dokumen-Dokumen.
Borang M   -       Rujukan Kepada Mahkamah.
Borang N    -       Permohonan Supaya Bantahan Di/. Kepada Mahkamah.
Borang O   -       Rujukan Kepada Mahkamah.
Borang P    -       Notis (Dikeluarkan Oleh Pendaftar Mahkamah).
Borang Q   -       Notis Pendudukan Atau Penggunaan Sementara Tanah.

BORANG-BORANG DI DALAM KAEDAH PENGAMBILAN TANAH 1998
Borang 1
-
Permohonan Bagi Pengambilan Tanah Di Bawah Perenggan 3(1)(b)/(c) APT 1960.
Borang 2
-
Notis Untuk Mengkehendaki Deposit Tambahan.
Borang 3
-
Notis Rundingan.
Borang 4
-
Notis Kepada Jawatankuasa
Borang 5
-
Notis Kelulusan.
Borang 6
-
Notis Penolakan.
Borang 7
-
Notis Pelucuthakkan Deposit.
Borang 8
-
Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Pihak Berkuasa Negeri.

TANAH ANDA DI AMBIL OLEH KERAJAAN?
APA HAK ANDA DAN APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN?

PERKARA-PERKARA YANG ANDA TIDAK BERHAK ATAU TIDAK BOLEH LAKUKAN:-

ANDA TIDAK BERHAK menghalang Kerajaan dari mengambil tanah anda mengikut undang-undang.
ANDA TIDAK BOLEH menghalang mana-mana Pegawai Tanah atau Juruukur atau ejen-ejen yang mendapat kebenaran dari Pengarah Negeri (Pengarah Tanah dan Galian) untuk membuat kerja-kerja siasatan di atas tanah.  Walau bagaimanapun anda boleh meminta mereka menunjukkan surat kuasa yang diberi itu bersekali dengan salinan warta pemberitahuan dalam Borang A.
Perlembagaan Malaysia dan Akta Pengambilan Tanah 1960 membenarkan Kerajaan mengambil tanah anda untuk maksud awam.
Apa hak anda dan apa yang boleh anda lakukan apabila tanah anda diambil oleh Kerajaan?
ANDA BERHAK diberitahu melalui satu notis mengenai hasrat Kerajaan untuk mengambil tanah anda dan menjemput anda menghadiri satu siasatan/ perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan.
ANDA BERHAK mendapatkan jumlah pampasan yang adil dan berpatutan.
ANDA BERHAK membuat tuntutan pampasan sama ada cara lisan atau bertulis ke atas tanah anda dan ke atas apa-apa pembangunan yang telah dibuat di atas tanah berkenaan dengan syarat pembangunan itu tidak melanggar syarat guna tanah yang ditetapkan dalam hak milik. Anda walau bagaimanapun tidak boleh menuntut pampasan untuk tanaman kerana nilai tanaman telah diambil kira dalam nilai tanah. Anda boleh mendapatkan khidmat Penilai Swasta untuk membantu menilai tanah anda tetapi Pentadbir Tanah tidak terikat dengan penilaian oleh Penilai anda  dalam menetapkan pampasan.
ANDA BERHAK sekiranya tanah diambil sebahagian sahaja, menuntut pampasan kerosakan ke atas baki tanah yang tidak diambil yang telah jatuh nilainya atau terhad kegunaannya disebabkan oleh pengambilan itu atau terhadap tanah lain yang berdekatan atau kerosakan terhadap harta alih atau tidak alih yang lain.
ANDA BERHAK menuntut segala kos perpindahan ke tempat tinggal atau tempat perniagaan yang baru akibat pengambilan ini.
ANDA BERHAK menuntut kos perjalanan untuk menghadiri siasatan.
ANDA BERHAK melantik wakil/ejen bagi pihak anda untuk menghadiri siasatan.
ANDA BERHAK membantah jumlah nilai pampasan atau cara pembahagian pampasan atau ukuran keluasan tanah yang diambil, tetapi anda tidak berhak membantah hasrat kerajaan mengambil tanah anda.
ANDA BERHAK memilih sama ada untuk menerima atau menerima dengan bantahan atau menolak sama sekali pampasan yang ditawarkan secara bertulis.
ANDA BERHAK membuat bantahan ke mahkamah melalui Pentadbir Tanah setelah melengkapkan Borang N (satu orang satu Borang N) setelah memenuhi syarat-syarat berikut:-
(i)   Anda telah membuat tuntutan semasa siasatan dan menolak atau menerima dengan bantahan pampasan yang ditawarkan oleh Pentadbir Tanah. Anda tidak boleh merujuk ke mahkamah sekiranya anda bersetuju menerima tawaran pampasan.
(ii)  Permohonan bantahan ke mahkamah hendaklah dibuat dalam tempoh 6 minggu (jika anda hadir semasa award bertulis Borang G dibuat oleh Pentadbir Tanah) atau (jika tidak hadir) 6 minggu dari tarikh menerima notis tawaran pampasan Borang H atau 6 bulan dari tarikh award Borang G yang mana dahulu luput.
(iii) Jumlah nilai pampasan bagi kepentingan anda hendaklah melebihi dari RM3,000.00 jika ingin membantah mengenai keluasan tanah dan amaun pampasan. Walau bagaimanapun anda masih boleh membuat bantahan mengenai pembahagiannya dan kepada orang yang menerima pampasan jika amaun pampasan tidak melebihi RM3,000.00
(iv) Membayar deposit RM3,000.00   atau   10%    dari nilai yang dituntut yang mana lebih rendah.
Keputusan  mahkamah   adalah  muktamad.
ANDA BERHAK mendapat dokumen hak milik sambungan bagi baki tanah  yang  tidak  diambil dan mendapat pelarasan cukai tanah berasaskan  keluasan dalam hakmilik yang baru ini.


PERMOHONAN PENGAMBILAN TANAH
Tujuan
Garis panduan ini adalah untuk dijadikan panduan kepada semua yang berkenaan supaya prosedur yang seragam mengenai pengambilan mana-mana tanah di Semenanjung Malaysia untuk tujuan Persekutuan dapat diikuti.

Kuasa Mengambil Mana-mana Tanah Untuk Tujuan Persekutuan
Menurut Akta Pengambilan Tanah 1960, kuasa mengambil mana-mana tanah secara paksa adalah terletak pada Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Dengan yang demikian, mana-mana tanah yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaannya perlulah diambil oleh PBN. Perkara 83(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk mendapatkan mana-mana tanah yang diperlukan oleh Kerajaan Persekutuan sama ada dengan cara perjanjian atau dengan cara paksa. Perkataan "Tujuan Persekutuan" adalah seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Prosedur Mendapatkan Tanah
Dalam hal pengambilan mana-mana tanah untuk kegunaan Kementerian/ Jabatan Persekutuan (tidak termasuk badan-badan berkanun Persekutuan yang boleh memiliki tanah di atas nama mereka sendiri), prosedur berikut hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

(a)    Pemilihan Tanah
Dua tahun sebelum tarikh satu-satu tanah itu dikehendaki, Kementerian/ Jabatan yang berkehendakkan tanah itu hendaklah terlebih dahulu menentukan tapak yang diperlukannya. Penentuan ini hendaklah dibuat dengan cara rundingan diantara Kementerian/Jabatan yang memerlukan tanah itu dengan Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah (PT) yang berkenaan. Rundingan ini perlu dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Tapak Daerah dan hendaklah mengambil kira mengenai kesesuaian tanah/tapak dari segi kedudukannya, penggunaan, harga dan peruntukan wang yang mencukupi bagi projek yang hendak dilaksanakan itu. Di peringkat ini masalah-masalah sosial dan ekonomi yang mungkin timbul berikutan dari pengambilan itu perlu diberi perhatian. Tanah yang ada setinggan umpamanya, perlu dielakkan.
Untuk mengambil tanah bagi melaksanakan projek-projek baru, pihak Kementerian/Jabatan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan jabatan-jabatan teknikal lainnya. Walau bagaimanapun pandangan dari jabatan teknikal tidak diperlukan sekiranya pengambilan itu melibatkan pembesaran projek yang sedia ada seperti melebarkan jalan dan sebagainya. Pihak Kementerian/Jabatan juga hendaklah menentukan sama ada pemberitahuan di bawah seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 diperlukan atau tidak. Keputusan muktamad berhubung dengan pemilihan tapak hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh tanah itu hendak diambil. Walau bagaimanapun sekiranya pemberitahuan di bawah seksyen 4, APT 1960 diperlukan, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) hendaklah diberitahu lebih awal daripada tarikh 6 bulan tanah itu dikehendaki.

(b)    Permohonan Rasmi
Setelah keputusan muktamad mengenai pemilihan tapak dibuat, Kementerian/Jabatan yang berkenaan hendaklah menulis kepada PTP supaya permohonan rasmi bagi pihaknya dikemukakan kepada PBN yang berkenaan. Surat permohonan kepada PTP itu hendaklah disertakan bersama dengannya pelan-pelan dan dokumen-dokumen yang berkaitan seperti berikut:-
i.    35 keping pelan pengambilan menggunakan skil yang sama seperti yang terdapat pada Pejabat Tanah berkenan;
ii.   Sempadan lot-lot yang dipohon hendaklah diwarnakan merah;
iii.   PTP setelah menerima permohonan daripada Kementerian/ Jabatan, akan mengemukakan permohonan rasmi kepada PBN melalui Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) dengan menggunakan borang permohonan khas ' dengan menghantar salinan-salinan kepada yang berkenaan.

(c)    Memproses Permohonan
Apabila PT menerima salinan permohonan rasmi daripada PTP beliau hendaklah mengambil tindakan untuk memproses permohonan termasuk dengan menyediakan kertas ringkasan untuk pertimbangan PBN. Kertas ringkasan tersebut di antara lain hendaklah mengandungi maklumat-maklumat berikut:-
i.    pewartaan di bawah seksyen 4, jika kajian mengenai kesesuaian tapak perlu dibuat;
ii.   pewartaan di bawah seksyen 8;
iii.   pengambilan menerusi Perakuan Segera di bawah seksyen 19, jika dipohon sedemikian; dan
iv.   pendudukan sementara di bawah Bahagian VII APT 1960 jika diperlukan.
Apabila kelulusan PBN diperolehi, PTG diminta memberikan keutamaan supaya pengisytiharan dalam Warta Kerajaan dibuat dengan secepat mungkin. Ini perlu kerana tindakan pewartaan itu lazimnya mengambil masa yang agak lama dan tindakan selanjutnya tidak dapat disegerakan.

(d)    Mengambil Milik Di Bawah Perakuan Segera
Di bawah seksyen 19 APT 1960, Pengarah Negeri boleh mengeluarkan Perakuan Segera menerusi Borang I. Walau bagaimanapun permohonannya hendaklah dari agensi yang memerlukan tanah itu dan ini perlu dinyatakan pada peringkat awal lagi. Borang I hanya boleh dikeluarkan selepas 15 hari dari tarikh notis Borang E disiarkan (tidak termasuk tarikh penyiaran) dan diikuti dengan pengeluaran Borang K di bawah seksyen 22, tertakluk kepada peruntukan di bawah seksyen 20 APT 1960. Selepas menerima Perakuan Segera dari Pengarah Negeri, PT hendaklah menyedia dan mengeluarkan
Borang K untuk mengambil milik dengan rasminya tanah berkenaan. Salinan Borang K itu juga hendaklah dihantar kepada PTP dan Kementerian/Jabatan yang berkenaan. Kementerian/Jabatan yang memohon adalah diingatkan supaya peruntukan seksyen 19 ini digunakan dalam keadaan yang benar-benar terdesak sahaja kerana ianya melibatkan pembayaran faedah 8% setahun mulai daripada tarikh Borang K dikeluarkan.

(e)    Penaksiran Harga Tanah
Semasa proses pengisytiharan warta di bawah seksyen 8 dibuat PT diminta menghubungi Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri yang berkenaan bagi mendapatkan nilaian tanah tanpa menunggu Warta itu disiarkan. Ini bagi mengelakkan kelewatan. Untuk tujuan mendapatkan penaksiran tanah dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, borang seperti di Halaman B hendaklah digunakan.

(f)     Siasatan dan Pembayaran Pampasan
PT hendaklah mengambil perhatian bahawa salinan Borang 'E' dan di mana perlu, Borang F, hendaklah disampaikan juga kepada Kementerian/Jabatan yang berkenaan. Di bawah seksyen 55(2), wakil Kementerian/Jabatan tersebut bolehlah hadir untuk memberi keterangan pada hari siasatan tersebut dengan mengemukakan surat pengesahan yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. Satu salinan Borang 'E' hendaklah juga dihantar kepada PTP untuk maklumannya. Orang yang berkepentingan atau wakil mereka, bolehlah hadir pada hari siasatan dijalankan. Apabila siasatan itu selesai dibuat PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya dalam Borang 'G' dan mengeluarkan Borang 'H' kepada orang yang berkepentingan. Salinan Borang 'G' dan 'H' hendaklah juga disampaikan kepada Kementerian/Jabatan yang berkenaan. Dalam apa juga keadaan sekalipun PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya dalam tempoh 2 tahun dari tarikh warta Borang 'D'. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tempoh Borang 'D' itu luput dan kesannya prosiding pengambilan terbatal.

Setelah menerima salinan Borang 'H', Kementerian/Jabatan yang berkenaan hendaklah membuat bayaran pampasan dengan segera dalam tempuh 3 bulan. Jika mengikut seksyen 29A APT award melebihi RM 15,000 bagi mana-mana tanah yang terjadual, maka 25% pampasan tersebut di tahan selama 6 minggu iaitu tempuh Kementerian/Jabatan membuat rayuan di bawah seksyen 37(3) APT 1960. Jika tiada rayuan dibuat, baki pampasan 25% hendaklah dibayar beserta faedah 8% dari tarikh bayaran yang pertama. Adalah dicadangkan supaya Kementerian/Jabatan membayar keseluruhan pampasan jika tidak bercadang membuat rayuan/bantahan terhadap award PT. Dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan pada seksyen 29(1), APT 1960, maka wang tersebut hendaklah didepositkan di Mahkamah atau dalam keadaan di mana orang yang berkepentingan itu meninggal dunia tanpa wasiat, disimpan di Pejabat Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia dengan segera bagi mengelakkan pembayaran faedah 8% setahun. (Lihat Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil. 1/1992). Kementerian/Jabatan hendaklah memaklumkan kepada PTP tarikh bayaran pampasan dibuat.

(g)    Rujukan Ke Mahkamah
Di atas sebab-sebab yang disebutkan di bawah seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960, mana-mana orang yang berkepentingan atau pihak yang bagi pihaknya tanah itu diambil boleh melalui PT membuat rujukan ke Mahkamah. Perhatian pihak yang berkenaan adalah ditarik kepada seksyen 38 yang menentukan cara dan jangkamasa sesuatu rujukan itu boleh dibuat. Diantara syarat rujukan yang mesti dipatuhi ialah menjelaskan wang deposit sebanyak yang diminta dalam tempoh 30 hari dari tarikh menerima surat PT.

(h) Mengambil Milik Dengan Rasmi
Mana-mana tanah itu diambil secara rasmi setelah Borang 'K' diendorskan pada dokumen hakmilik daftar atau rekod-rekod lain yang bersesuaian. Jika tanah itu tidak diambil secara rasmi seperti di perenggan (d), maka PT akan mengeluarkan Borang 'K' pada masa menyerahkan Borang 'H' kepada pihak yang berkepentingan atau satu tarikh selepasnya. Satu salinan Borang 'K' hendaklah dihantarkan kepada PTP dan Kementerian/Jabatan berkenaan untuk makluman dan rekod.

(i)     Penarikan Balik
Kementerian/Jabatan adalah diingatkan bahawa walaupun ada peruntukan yang membolehkan Kementerian/Jabatan menarik balik permohonan pengambilan tanah sebelum tanah itu diambil dengan rasmi tetapi penarikan balik ini tidak digalakkan oleh kerana sebarang penarikan balik akan melibatkan pembayaran pampasan dan kos yang akan ditanggung oleh Kementeian/Jabatan berkenaan.

(j)     Permohonan Untuk Pemberimilikan
Apabila menerima salinan Borang 'K' dan ianya telah diendorskan pada dokumen hakmilik daftar berkenaan atau lain-lain rekod yang bersesuaian, maka Kementerian/Jabatan hendaklah memohon supaya tanah yang diambil milik secara rasmi itu diberimilik. Permohonan tersebut hendaklah dibuat melalui PTP. Kementerian/Jabatan yang memohon hendaklah mengawal tanah tersebut daripada pencerobohan seperti memagarnya selaras dengan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bil. 23/1980 dan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2/1987.

Penggunaan Tanah Sementara

Kementerian/Jabatan hendaklah memberitahu PT pada peringkat mengemukakan permohonan lagi jika sesuatu pengambilan itu turut melibatkan penggunaan tanah secara sementara di bawah Bahagian VII, APT 1960. Kerana ianya perlu diluluskan oleh PBN terlebih dahulu.

Penutup
Garis panduan ini adalah terpakai bagi permohonan pengambilan tanah oleh agensi kerajaan Persekutuan untuk tujuan-tujuan Pesekutuan.


PERMOHONAN UNTUK MENGAMBIL TANAH
DI BAWAH APT 1960

TINDAKAN OLEH JABATAN YANG MEMERLUKAN TAPAK

*       Bayar Pampasan Secepat Mungkin
Pastikan bayaran disediakan dan diserahkan kepada pemilik dalam tempoh 3 bulan dari tarikh notis tawaran pampasan (Borang H) dikeluarkan.  Jabatan pemohon akan dikenakan caj bayaran lewat 8% setahun jika melewati tempoh 3 bulan ini.

*       Pohon Hak milik atau perizapan
Kemukakan permohonan kepada JKPTG untuk hak milik tanah atau perizapan tanah sebaik menerima notis pemberitahu tanah telah diambil milik secara rasmi (Borang K), dari Pentadbir Tanah.
Patuhi Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1/2003 apabila memohon hak milik atau perizapan.

 *       Kawalan Ke atas Tanah
Kawal tanah dari pencerobohan seperti memagar atau menyewakan untuk jangka pendek.  Dapatkan kelulusan JKPTG jika ingin menyewakannya.
Membantu  Mempercepatkan Proses Pengambilan.  Tindakan-Tindakan Berikut Perlu Di Beri Perhatian.

*       Rancanglah Projek Dengan Teliti
Lawat tapak dan pastikan tapak cadangan memenuhi keperluan teknikal projek dari segi keluasan dan lokasi.
Pastikan bentuk fizikal tapak adalah sesuai – ambil kira keadaan kecuraman bukit, jenis tanah-tanih dan risiko banjir.  Kesemua ini boleh mempengaruhi kos dan jangka masa pelaksanaan projek kelak.
Pastikan projek yang dicadangkan sesuai dengan perancangan guna tanah kawasan persekitaran. Dapatkan pandangan JPBD atau Pihak Berkuasa Tempatan.
Ambil kira keperluan laluan jalan masuk dan perparitan untuk mengelakkan banjir.  Masukkan keperluan ini dalam pelan pengambilan tanah, jika perlu.
Elakkan dari memohon tanah yang telah terlebih dahulu dipohon oleh Jabatan lain.  Semak dengan Pejabat Tanah untuk elakkan pertindihan.
Dapatkan bantuan Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) untuk membuat anggaran kos pengambilan.
Dapatkan kelulusan Jawatankuasa Tindakan Daerah mengenai cadangan permohonan pengambilan tanah.
Beri tempoh 1 tahun untuk urusan pengambilan tanah oleh pentadbiran tanah sebelum pelaksanaan fizikal projek.

*       Buat Permohonan Secara Yang Betul
Pastikan keperluan tapak telah muktamad sebelum membuat permohonan di bawah sek. 8 APT 1960.  Jika masih belum pasti dan perlu kajian lanjut, pohon pemberitahuan di bawah sek. 4 terlebih dahulu.
Kemukakan permohonan dengan mengisi Lampiran A bagi permohonan di bawah seksyen 4 dan Lampiran B bagi permohonan di bawah seksyen 8 mengikut Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) Bil. 1/2003.
Pastikan dokumen dan bilangan salinan pelan pengambilan yang terkini secukupnya dihantar bersama permohonan mengikut skala syit piawai Pejabat Tanah, pengesahan peruntukan dan keperluan Sijil Akuan Segera, dan dokumen-dokumen lain seperti ditetapkan dalam Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1/2003.
Penyediaan pelan permohonan pengambilan hendaklah disediakan oleh pakar perunding atau Juruukur  bertauliah (masukkan kos penyediaan pelan di dalam kos pengambilan).  Pastikan pakar perunding atau Juruukur bertauliah yang dilantik itu berunding dengan JKPTG Negeri terlebih dahulu sebelum menyediakan pelan pengambilan tanah. 
Pastikan pakar perunding atau Juru ukur bertauliah menyemak maklumat tanah di Pejabat Tanah Daerah berkenaan selain dari maklumat dari Jabatan Ukur (JUPEM).

 *       Hadir Siasatan (enquiry) Yang Ditetapkan
Pastikan seorang wakil Jabatan yang mengetahui selok belok projek, hadir semasa siasatan di hadapan Pentadbir Tanah.
Berikut adalah senarai unit beserta staff-staff yang berada pada unit masing-masing:













rujukan :

http://webjabatan.kedah.gov.my/home4/new.php?jab=ptkm&id2=1477&isi=content2









2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kaji dulu sebelum sebarang kenyataan bertulis dibuat. fakta banyak yang tidak betul.

Hilmi1905 berkata...

Tuan yang Tanpa nama.

Sekurang-kurangnya, maklumkan apa yang tak betul dari buat kenyataan am dan tanpa nama.
Info ini atas inisiatif Tuan Syed Amirul Hakim and saya juga dapat manfaat dengan perkongsian ilmunya.

Untuk Tuan tanpa nama, ini setidak dapat menginfaqkan ilmu yang kita ada.