Isnin, 3 Disember 2012

Pengusaha Tanah Dapat Habuan


 


PORTAL RASMI
JABATAN TANAH DAN GALIAN PERLIS

Pengusaha Tanah Dapat Habuan

KANGAR - Seramai 12 pengusaha tanah dari Kampung Guar Ujung Batu, Utan Aji dekat sini, menerima cek pembayaran sagu hati antara RM25,000 hingga RM40,000 daripada Kerajaan Negeri, semalam.

Sagu hati membabitkan perbelanjaan sebanyak RM331,840 itu diberikan kepada mereka selepas tanah yang diusahakan diambil kerajaan untuk pembangunan projek Rancangan Pengairan Muda blok ARDB 5, fasa 2, Perlis.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, sagu hati itu diberikan sebagai tanda keprihatinan kerajaan memandangkan pengusaha-pengusaha itu memiliki lesen menduduki sementara (TOL) dan sudah mengusahakan tanah di situ sejak berpuluh tahun.

“Tanah-tanah yang diusahakan penduduk yang terlibat itu adalah tanah milik kerajaan. Bagaimanapun, sebagai pihak pengusaha tanah yang memiliki lesen TOL dan dengan keprihatinan kerajaan, mereka menerima sagu hati masing-masing hari ini.

“Nilai sagu hati yang dibayar kepada pengusaha pula bergantung kepada saiz tanah yang terlibat dengan projek itu,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan cek pembayaran sagu hati kepada pengusaha-pengusaha tanah bagi projek Rancangan Pengairan Muda Blok ARDB 5, Fasa 2 di Pejabat Tanah dan Galian Perlis, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penguatkuasaan, Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Sempadan, Ahmad Bakri Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Datuk Musa Hassan.

Md Isa berkata, projek peningkatan sistem saliran dan tebatan banjir yang sedang dibangunkan di kampung Guar Ujong Batu itu akan memberi manfaat kepada petani-petani membabitkan keluasan sawah padi sehingga 750 hektar.

Menurutnya, dengan peningkatan sistem saliran itu, Kerajaan Negeri berharap matlamat menghasilkan pengeluaran sehingga 10 tan metrik padi bagi setiap hektar akan berhasil.

Malah, projek peningkatan sistem saliran itu juga diyakini akan dapat mengurangkan risiko kemungkinan banjir di kawasan berkenaan.
Sumber : :sinarharian Tarikh : 10 Oktober 2011

rujukan:
 http://ptg.ptgps.gov.my/berita1.html

Tiada ulasan: