Khamis, 13 Disember 2012

Menguasai Teknik Berdebat Dengan Mudah

 

Kata-Kata Aluan

Ramai pembahas mengabaikan aspek kata-kata aluan kerana dianggap kurang penting dan membazir masa. Bahkan ada sesetengah pembahas (terutamanya pembahas ketiga) akan terus sahaja memulakan penghujahan atau bidasan tanpa mengutarakan apa-apa jua kata-kata aluan. Namun begitu, ini sebenarnya suatu kerugian bukan sahaja bagi pembahas berkenaan tetapi juga pasukan yang beliau wakili kerana tidak mengambil peluang keemasan untuk memberikan “tanggapan pertama” yang baik kepada jemaah hakim dan sidang penonton. Sedangkan, dalam mana-mana pertandingan debat sekalipun, “tanggapan pertama” atau “first impression” amat penting bagi memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Selain itu, jemaah hakim dan penonton akan berasa “feel good” atau “senang hati” kerana dialu-alukan kehadiran mereka dalam sesi pertandingan berkenaan.

Walaupun begitu, pernahkah anda berada dalam situasi jemaah hakim langsung tidak mempedulikan anda, atau hanya sekadar sibuk menulis sahaja tanpa melihat mimik muka dan ekspresi badan anda ketika melafazkan kata-kata aluan? Ini kerana beberapa sebab; pertama, mungkin anda tergesa-gesa untuk memulakan ucapan substansif sehinggakan jemaah hakim masih lagi menulis maklumat-maklumat pertandingan. Kedua; mungkin juga sesetengah hakim tidak suka membuang masa dan lebih suka menumpukan perhatian kepada isu-isu penting dalam hujah-hujah anda. Atau ketiga; mungkin hakim-hakim tersebut pernah mengadili pertandingan-pertandingan yang ‘membosankan’ sebelum ini justeru menjejaskan ‘mood’ mereka untuk mengikuti pertandingan seterusnya.

Maka, bagaimana untuk menangani keadaan-keadaan seperti yang telah saya nyatakan tadi? Sebenarnya, ianya amat bergantung kepada kemahiran anda untuk mengutarakan kata-kata aluan yang sesuai. Bermula dengan kata-kata aluan yang mudah dan komprehensif seperti berikut;


Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih Tuan Yang DiPertua, rakan-rakan kabinet Kerajaan, pihak Pembangkang dan seterusnya Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.
Assalamualaikum dan selamat bersidang.


atau dengan kata-kata aluan yang lebih kompleks seperti;

Bismillahirrahmanirrahim,
Sekalung apresiasi buat Tuan Speaker Dewan, ahli-ahli kabinet Kerajaan, proksi Pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan yang bersidang.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sewajarnya kata-kata aluan yang disampaikan oleh setiap pembahas menggambarkan perwatakan dan peranannya (sebagai Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan seumpamanya). Kunci utama kepada rahsia kata-kata aluan yang berkesan adalah mudah, ringkas, komprehensif dan ikhlas.

1. Mudah – agar tidak sukar untuk disebut oleh pembahas, pemilihan perkataan yang tepat juga memainkan peranan yang amat penting.

2. Ringkas – peruntukan masa untuk kata-kata aluan sewajarnya dihadkan kepada 15 hingga 20 saat, tidak perlu meleret-leret kerana dikhuatiri membuang masa dan mengganggu penyampaian isi-isi yang lebih penting.

3. Komprehensif – jangan terlupa untuk mengalu-alukan pihak yang sepatutnya (contohnya : Yang DiPertua Dewan/Tuan Speaker Dewan, ahli-ahli Kerajaan, ahli-ahli Pembangkang dan warga sidang Parlimen), tidak perlu membuang masa untuk menyebut kata-kata aluan yang tidak berkenaan (contohnya : Penjaga Masa yang setia dengan detik waktunya, jemaah hakim yang berpaksikan neraca keadilan, pihak kontradiksi yang dihormati tetapi tidak digeruni). Inilah perbezaan antara Bahas Ala Parlimen dengan bahas konvensional kerana dalam Bahas Ala Parlimen, kita benar-benar memainkan peranan dan watak sebagai Ahli-Ahli Yang Berhormat (wakil rakyat dalam Parlimen).

4. Ikhlas – penyampaian harus dilakukan dengan mimik muka yang berkesan dan lahir dari keikhlasan hati yang murni. Ramai pembahas lupa bahawa tujuan sebenar kita menuturkan kata-kata aluan adalah untuk mengalu-alukan kehadiran pihak yang ada di dalam dewan agar mereka berasa selesa dan kehadiran mereka dihargai. Justeru, amat penting bagi kita sebagai pembahas untuk menonjolkan keikhlasan yang sebenar tatkala mengutarakan kata-kata aluan tersebut. Cuba bayangkan sepertimana anda mengucapkan salam kepada guru-guru atau kedua ibubapa anda, maka seperti itu jugalah cara yang terbaik untuk anda menyampaikan kata-kata aluan anda. Penuh rasa hormat, ketulusan dan keikhlasan.

Persoalan timbul, mengapa perlu kita menuturkan kata-kata aluan yang berkesan sebegini? Ada dua perspektif utama yang perlu dilihat. Pertama, anda akan memberikan “tanggapan pertama” (first impression) yang positif kepada jemaah hakim dan penonton anda. Ini memudahkan penerimaan mereka terhadap segala apa yang ingin anda sampaikan nanti sewaktu penghujahan. Kedua, anda akan berasa lebih berkeyakinan kerana anda memulakan rentak bicara anda dengan sesuatu yang positif.

Usah gagap atau tersekat-sekat ketika menyampaikan kata-kata aluan kerana ini akan menghilangkan ‘keajaiban’nya. Jika perlu, anda reka satu kata-kata aluan yang standard (menepati ciri-ciri yang telah dinyatakan tadi) dan hafalkannya. Ini adalah perkara yang anda boleh sediakan sebelum mana-mana pertandingan dan boleh digunakan semula bagi setiap pertandingan yang anda sertai. Tidak kisahlah jika kata-kata aluan anda bersifat klise atau biasa-biasa, namun anda sebenarnya boleh menjadikannya ‘luar biasa’ dengan menuturkan kata-kata aluan tersebut dalam keadaan penuh yakin dan ikhlas. Inilah yang membezakan kata-kata aluan yang biasa dengan kata-kata aluan yang luar biasa, iaitu cara anda menuturkannya.

Dalam kalangan pembahas terutamanya di peringkat sekolah, ramai yang cenderung untuk memetik kata-kata pemimpin atau cogan kata yang popular. Pada hemat saya, jika petikan kata-kata atau cogan kata berkenaan tidak terlalu panjang, bersifat ringkas dan komprehensif serta berkait rapat dengan usul yang dibincangkan, maka sewajarnya digunakan untuk memberikan “tanggapan pertama” yang lebih baik. Namun jika sebaliknya, ianya hanya akan membuang masa pembahas dan lebih teruk lagi, tidak akan dipertimbangkan oleh jemaah hakim (kerana tidak membantu penghujahan). Secara peribadi, saya sendiri kurang gemar menyelitkan petikan kata-kata atau cogan kata yang popular kerana saya lebih suka menjadikan sesi kata-kata aluan ini sebagai sesi di mana saya benar-benar mengalu-alukan kehadiran semua pihak. Petikan-petikan tersebut mungkin akan saya masukkan dalam hujah-hujah saya nanti.

Ada juga pembahas sekolah yang lebih suka untuk memulakan kata-kata aluan mereka dengan menyelitkan unsur-unsur pantun yang telah diubahsuai, kononnya untuk menjadikan suasana pertandingan lebih menarik.

Contoh 1 : Sayangkan anak, tangan-tangankan
Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan
Sayangkan kerajaan, ku beri sokongan
Sayangkan pembangkang, ku hadiahkan bidasan.

Contoh 2 : Memaku dulang, paku serpih
Mengata orang, kerajaan yang lebih.

Pada hakikatnya, jika dalam bahas konvensional, maka unsur-unsur pantun sebegini akan diberi pertimbangan markah yang tinggi oleh jemaah hakim kerana menunjukkan penguasaan bahasa puitis yang baik. Namun begitu, untuk Bahas Ala Parlimen, unsur-unsur pantun tidaklah begitu digalakkan kecuali jika benar-benar membantu penghujahan. Bahkan dalam sesetengah keadaan, jemaah hakim akan melihat perkara ini sebagai suatu liabiliti dan kelemahan kepada pihak yang mengutarakan pantun-pantun berkenaan kerana tidak memahami peranan sebenar sebagai Ahli-Ahli Yang Berhormat di Parlimen.

Penggunaan ayat-ayat beritma juga ada kebaikan dan keburukannya.
Contoh : Kami akan berhujah serta mencerakinkan satu persatu ledakan teknologi yang telah merungkai tali nilai murni yang sepatutnya tersimpul mati dalam sanubari insani.
Contoh : Terima kasih Tuan Speaker Dewan yang dihormati, barisan pihak Kerajaan yang disanjungi, panel Pembangkang yang disayangi dan seterusnya warga dewan yang dikasihi. Assalamualaikum dan selamat pagi.

Dari satu segi, hakim akan melihat ini sebagai kekuatan kosa kata dan perbendaharaan kata seseorang pembahas. Ini boleh meningkatkan markah bahasa dan mungkin gaya penyampaian (kerana mungkin dilihat kreatif). Dari segi yang lain pula, jika dilakukan secara keterlaluan atau berlebih-lebihan, hakim akan melihat keadaan ini sebagai retorik semata-mata, permainan bahasa untuk mengaburi kelemahan isi, hujah atau bidasan yang ada atau sekadar membuang masa. Maka, di sini hakim akan mempertimbangkan untuk mengurangkan markah isi kerana bahasa berbunga-bunga berkenaan.

Ada juga pembahas yang mempertahankan tindakan mereka untuk menyelitkan bunga-bunga bahasa berkenaan, atas alasan kononnya terdapat juga beberapa Ahli Yang Berhormat atau Menteri Kerajaan (dalam situasi sebenar) yang mahir dalam menggunakan bahasa puitis dan pertuturan seharian, pemilihan perkataan mereka juga tepat dan indah. Cuma perlu disedari bahawa di Parlimen yang sebenar, Ahli-Ahli Yang Berhormat ini boleh menyampaikan hujah mereka dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan kita, pembahas yang terpaksa mengikut peruntukan masa (7 hingga 8 minit) yang telah ditetapkan. Bukankah lebih sesuai dan menguntungkan jika peruntukan masa 1 minit yang kita habiskan semata-mata untuk berpantun atau berseloka (walaupun tiada kaitan yang jelas dengan usul) itu kita gunakan untuk membidas pihak lawan atau menyampaikan hujah dan fakta kita? Tambahan pula, jumlah nilaian markah untuk isi dan strategi dalam Bahas Ala Parlimen adalah sebanyak 60 markah, manakala untuk gaya dan bahasa adalah 40 markah. Di sinilah kita perlu bertindak bijak untuk menetapkan keutamaan kita, samada untuk beretorik dengan bunga-bunga bahasa atau berdebat dengan penuh fakta dan berstruktur serta menggunakan Bahasa Melayu yang betul.

Terdapat juga beberapa pertandingan debat di peringkat universiti yang menitikberatkan tema-tema tertentu. Contohnya; Debat Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar Malaysia menumpukan kepada isu-isu alam sekitar, Debat Kemerdekaan anjuran Arkib Negara Malaysia pula berkisar tentang isu-isu kemerdekaan dan kenegaraan serta pelbagai debat lagi. Justeru, dalam debat-debat bertema sebegini, amat disyorkan untuk menyelitkan sedikit-sebanyak unsur-unsur yang berkaitan bagi menarik perhatian jemaah hakim dan penonton.

Contoh : ..... dan seterusnya warga dewan yang dimuliakan. Assalamualaikum dan salam hijau bumi Tuhan.[ Debat Alam Sekitar ]

Contoh : ..... dan seterusnya sidang dewan yang dimuliakan.
Assalamualaikum dan sambutlah salam “Keranamu Malaysia”. [ Debat Kemerdekaan ]

Bahkan lebih dari itu, pernah dalam 2 pertandingan akhir, iaitu Pertandingan Akhir Debat DiRaja (Kategori Utama) 2004 dan Pertandingan Akhir Debat Kemerdekaan 2005, saya menuturkan perkataan berikut memandangkan kedua-dua pertandingan tersebut berlangsung di Dewan Canselor UMS dan disaksikan oleh beribu-ribu penonton yang berasal dari Sabah;

..... dan seterusnya sidang dewan yang dimuliakan. Assalamualaikum dan selamat bersidang. Tuan Yang DiPertua, dengan izin, “Sabah Tatap!”

Walaupun ayatnya ringkas, tetapi mendatangkan kesan yang amat mendalam bagi saya kerana sebaik sahaja selesai menuturkan ayat “Sabah Tatap!” itu, Dewan Canselor UMS terus bergema dengan tepukan gemuruh dan sorakan ceria penyokong-penyokong kami dan penonton-penonton yang hadir. Ini juga boleh dikatakan sebagai mengambil peluang keemasan untuk memancing emosi sekaligus memberikan tanggapan pertama yang positif kepada jemaah hakim, tetamu kehormat dan penonton yang hadir.

Kembali kepada kata-kata aluan yang kita bincangkan, terdapat beberapa tips untuk membuat, menghafal dan menyampaikan kata-kata aluan yang berkesan.
1. Jadikan kata-kata aluan anda mudah. Tidak perlu perkataan-perkataan bombastik, cukup sekadar kata-kata yang senang disebut dan enak didengar. Ini juga akan memudahkan sesi penghafalan anda.
2. Jadikan kata-kata aluan anda ringkas. Peruntukan masa yang paling ideal untuk kata-kata aluan adalah antara 15 hingga 20 saat.
3. Jadikan kata-kata aluan anda komprehensif. Masukkan salutasi-salutasi yang diperlukan dan abaikan atau buang mana-mana yang tidak perlu.
4. Sampaikan kata-kata aluan anda dengan penuh ikhlas. Bayangkan seolah-olah anda mengalu-alukan kehadiran insan tersayang atau golongan yang anda amat hormati seperti ibubapa, guru-guru dan sebagainya. Ucapan itu harus terbit dari hati yang tulus dan dipamerkan menerusi mimik muka yang berkesan.
5. Ambil peluang untuk membuat tanggapan pertama yang positif. Lihat keadaan sekeliling anda samada sesuai atau tidak untuk menyelitkan unsur-unsur yang boleh membantu anda memberikan tanggapan pertama yang positif. Lakukan dengan penuh keyakinan tanpa was-was.

Diharapkan tips-tips dan panduan berguna ini akan dapat dimanfaatkan oleh anda bagi memantapkan penyediaan kata-kata aluan yang mampu memukau perhatian jemaah hakim dan penonton selain menepati kehendak format Bahas Ala Parlimen.

Tiada ulasan: