Isnin, 3 Disember 2012

PTG Perlis Rampas Tanah Jika Enggan Bayar Cukai


PORTAL RASMI
JABATAN TANAH DAN GALIAN PERLIS

PTG Perlis Rampas Tanah Jika Enggan Bayar Cukai

KANGAR: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perlis memberi amaran tidak akan teragak-agak merampas tanah berikutan sikap sambil lewa penduduk, terutama pemilik tanah menjelaskan bayaran cukai yang nilai tunggakannya mencecah RM10.9 juta. Pengarah PTG negeri, Mohamad Daud Abdul Hamid, berkata sebahagian besar pemilik tanah kurang memberi perhatian terhadap isu pembayaran cukai sehingga ada antara mereka sanggup membuang notis amaran dikeluarkan PTG.

"Pendekatan kita sebelum ini lebih kepada sikap bertolak ansur sehingga ada pemilik tanah sudah naik ‘muak’ atau acuh tidak acuh dalam menjelaskan cukai tanah. "Kita sekarang memutuskan untuk bertegas bagi memastikan nilai tunggakan cukai dapat dikurangkan dan tindakan merampas tanah adalah kaedah terakhir jika pemilik masih ingkar menjelaskan cukai," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 67 pemilik tanah ingkar yang dikenakan notis 6A dan setiap mereka diberi tempoh tiga bulan untuk menjelaskan tunggakan cukai masing-masing, sebelum PTG bertindak. "Ada di kalangan pemilik tanah ini segera hadir ke pejabat PTG di sini untuk menjelaskan bayaran cukai selepas menerima notis 6A kerana bimbang tanah mereka akan dirampas," katanya.

Mohammad Daud berkata, pihaknya mengeluarkan 54,000 bil cukai kepada pemilik tanah di seluruh negeri manakala 3,000 bil lagi tidak dapat dihantar kerana gagal mengesan pemiliknya. Beliau berharap waris atau keluarga pemilik tanah yang meninggal dunia supaya segera merujuk kepada PTG.

Katanya, bagi menggalak orang ramai menjelaskan cukai, PTG turut memberikan rebat istimewa membabitkan pengurangan sehingga 15 peratus bagi mereka yang menjelaskan awal iaitu tiga bulan pertama 2009. Beliau berkata, PTG Perlis turut memperkenalkan pembayaran cukai tanah dan perkhidmatan lain menerusi internet iaitu PTG.Perlis.Gov.My atau Portal Jabatan Tanah dan Galian Perlis.

Sumber : :Rashidi Karim dari berita harian. 
Tarikh : 22 Januari 2009

rujukan:
 http://ptg.ptgps.gov.my/berita3.html



Tiada ulasan: